hukum dan feqh



« on: 10 August, 2009, 10:55:34 AM »

Hukum menikahi wanita yang hamil


SOALAN:
Apa hukumnya menikahi wanita yang sedang hamil (luar nikah). Benarkah jika seorang lelaki menikahi wanita yang hamil terlebih dahulu hukumnya tidak sah dan harus menikah sekali lagi jika anak yang di kandung sudah lahir? (sesudah anak berusia 40 hari).

Apakah status anak itu kerana setahu saya anak tersebut tidak boleh dibinkan menurut nama si ayah dan jika anak itu perempuan maka si ayah tidak boleh menjadi wali.

Jawapan:

Menurut Dr. Wahbah al-Zuhaili, penulis al-Fiqh al-Islami, hukum tidak sah seseorang lelaki menikahi wanita yang sedang hamil hasil hubungan luar nikah atau diistilahkan sebagai 'zina' dalam bidang fikah adalah fatwa mazhab Maliki.

Namun tidak disyaratkan anak yang dilahirkan oleh wanita itu mesti berusia 40 hari atau lebih untuk melaksanakan akad nikah kemudiannya.

Mazhab ini mensyaratkan lelaki yang ingin bernikah dengan mana-mana wanita yang terlibat dengan zina perlulah memastikan rahimnya suci terlebih dahulu. Caranya, dengan menunggu sehingga tempoh tiga kali datang bulan (haid) atau berlalunya tempoh tiga bulan dari saat terakhir dia melakukan zina (al-istibra').

Jumhur ulama bersepakat mewajibkan istibra' demi menjaga kesucian susur galur keturunan kerana ia akan melibatkan status anak sah taraf atau tidak untuk dibinkan kepada suami yang dikahwini setelah zina berlaku, kemudian masalah wali kahwin bagi anak perempuan dan masalah pewarisan harta dari segi hukum-hakam Islam.

Jika syarat ini diabaikan, dan akad nikah diteruskan, maka akadnya dihukumkan fasid atau rosak yakni tidak sah di mana perpisahan dihukumkan wajib bagi pasangan tersebut; sama ada zahir pada wanita itu tanda-tanda hamil atau tidak.

Jika wanita itu didapati mengandung hasil hubungan zina, maka istibra'nya ialah kelahiran anak itu. Tidak sah akad nikah sebelum wanita itu bersalin berdasarkan hadis yang bermaksud: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah sekali-kali dia menyiram airnya pada tanaman orang lain. (Iaitu menyetubuhi wanita yang hamil bukan dari benihnya). (riwayat Abu Daud dan juga oleh al-Tirmizi yang menghukumkannya berdarjat hasan dengan lafaz 'anak orang lain').

Termasuk satu lagi hadis sahih dari al-Hakim mengenai wanita-wanita tawanan perang Awtas susulan daripada peperangan Hunain yang dibahagi-bahagikan kepada para pejuang yang bermaksud: "Tidak disetubuhi seorang wanita hamil itu sehingga bersalin".

Syarat ini juga digunapakai dalam mazhab Hanbali terutamanya bagi lelaki yang telah mengetahui status wanita itu berdasarkan hadis riwayat Imam Ahmad bin Hanbal yang bermaksud: "Janganlah sekali-kali seorang lelaki menyetubuhi seorang wanita yang hamil bukan dari benihnya".

Syarat tambahan mazhab ini ialah hendaklah wanita itu bertaubat nasuha terhadap dosa besar yang telah dilakukannya itu bagi mengeluarkannya daripada hukum asal al-Quran ke atas penzina: Lelaki yang berzina tidak boleh berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina pula tidak boleh berkahwin melainkan dengan lelaki yang berzina atau lelaki musyrik dan perkahwinan yang demikian itu diharamkan ke atas orang-orang yang beriman. (al-Nur: 3)

Lebih-lebih lagi jika mereka tidak berkahwin dengan lelaki yang berzina seperti yang diisyaratkan di akhir ayat tersebut.

Hal ini berdasarkan hadis yang bermaksud: "Seseorang yang benar-benar bertaubat daripada dosanya (taubat nasuha) adalah umpama seorang yang suci daripada segala dosa".

Kemudian baginda membacakan sepotong ayat al-Quran dari surah al-Baqarah ayat 222: Sesungguhnya Allah Maha Menyintai orang-orang yang suka bertaubat dan sentiasa menjaga kesucian.

Sementara mazhab Hanafi menghukumkan sah akad nikah seseorang lelaki yang mengahwini seorang wanita yang berzina dengan seorang lelaki lain jika dapat dipastikan wanita itu tidak hamil.

Jika wanita itu hamil juga diharuskan menikahinya dengan syarat tidak boleh menyetubuhi wanita itu sehingga dia bersalin berdasarkan ayat 23-24 dari surah al-Nisaa' yang tidak menyenaraikannya sebagai wanita yang haram dinikahi:

Telah diharamkan kepada kamu untuk berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, anak-anak kamu, adik-beradik perempuan kamu, ibu-ibu saudara sebelah bapa dan ibu kamu, anak-anak saudara perempuan daripada adik-beradik lelaki dan perempuan kamu, ibu-ibu susuan kamu dan adik-beradik susuan kamu, dan ibu-ibu isteri-isteri kamu, anak-anak tiri hasil perkahwinan terdahulu isteri-isteri kamu yang telah kamu nikahi (setelah mereka bercerai) kecuali jika kamu menceraikan mereka sebelum bersetubuh, maka tidak salah kamu (berkahwin dengan anaknya). Dan (haram juga bagi kamu untuk berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak lelaki kamu sendiri yang berasal dari benih kamu sendiri. Dan diharamkan ke atas kamu menghimpunkan dua orang perempuan adik-beradik sekaligus sebagai isteri-isteri kamu, kecuali yang telah berlaku pada masa lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Dan (diharamkan juga kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan yang masih berstatus isteri orang, kecuali hamba sahaya yang kamu miliki. (Hukumnya haram ini) adalah suatu ketetapan dari Allah (yang diwajibkan) ke atas kamu. Dan dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan lain selain daripada yang disebut (di atas), untuk kamu mencari (wanitai) dan memperisterikannya dengan harta kamu dengan menikahinya secara yang sah, bukan secara berzina… (an-Nisaa': 23 dan 24).

Pendapat ini dikuatkan dengan hadis riwayat al-Bukhari berkenaan perlakuan zina wanita yang telah berkahwin: Anak yang dilahirkan itu bagi empunya kamar tidur (iaitu hak suami yang sah), dan batu bagi penzina (rejam). Ia menggambarkan bahawa air mani penzina tidak mengharamkan hubungan perkahwinan yang sah.

Mazhab ini bersependapat dengan mazhab Hanbali dan Maliki yang mengharamkan persetubuhan kepada lelaki yang mengahwini wanita yang mengandung bukan dari benihnya. Sehingga wanita itu bersalin berdalilkan hadis yang sama: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah sekali-kali dia menyiram airnya pada tanaman orang lain. (Iaitu menyetubuhi wanita yang hamil bukan dari benihnya)". (riwayat Abu Daud).

Mazhab Syafie pula mengharuskan seseorang yang berzina menikahi wanita yang menjadi pasangan zinanya berdasarkan ayat 3, Surah al-Nur.

Perbuatan haram mereka berzina tidak mengharamkan mereka untuk melakukan pernikahan yang sah di mana hukumnya halal. Fatwa ini disepakati oleh jumhur ulama.

Nasab bayi

Menurut fatwa jumhur, jika wanita itu melahirkan anak selepas enam bulan berkahwin, maka anak itu dinasabkan kepada suaminya yang sah.

Jika kurang dari tempoh itu, maka tidak boleh dinasabkan kepadanya kecuali dia berkeras mengaku bahawa bayi itu anaknya atau tidak ada bukti jelas ia adalah hasil daripada hubungan zina terutamanya dalam menjaga maruah seorang Muslim.

Tempoh minimum enam bulan ini berdasarkan hadis riwayat al-Baihaqi di mana pada masa pemerintahan Saidina Umar, terdapat seorang wanita yang melahirkan anak setelah enam bulan mengandung.

Dia telah dibawa menghadap Saidina Umar untuk dihakimi iaitu diputuskan menjalani hukum rejam. Kes tersebut sampai ke pengetahuan Saidina Ali lalu beliau berkata: Wanita itu tidak sepatutnya direjam.

Kata-kata beliau akhirnya diketahui oleh Saidina Umar, lalu beliau terus menghantar utusan bertanyakan Saidina Ali tentang hal itu.

Saidina Ali terus membacakan ayat 233 dari surah al-Baqarah yang bermaksud: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan bayi-bayi mereka sehingga genap tempoh dua tahun bagi mereka yang ingin menyempurnakan proses penyusuan…. Kemudian beliau membaca ayat 15 dari surah al-Ahqaf yang bermaksud: Dan tempoh mengandungnya sehingga selesai proses penyusuannya mengambil masa selama 30 bulan….

Perbezaan kedua-dua tempoh di dalam dua ayat al-Quran tadi ialah 6 bulan (30 bulan - 24 bulan bersamaan dengan 6 bulan).

Jadi, kelahiran itu tidak boleh dianggap anak zina, oleh yang demikian, mereka telah membatalkan hukuman rejam ke atas wanita tersebut.

Hanya status undang-undang anak tak sah taraf sahaja tidak boleh berbinkan suami kepada wanita yang mengandung luar nikah dan seterusnya tidak boleh berwalikannya.

Menurut fatwa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke 57 pada 10 Jun 2003 penjelasan istilah Anak Tidak Sah Taraf adalah seperti berikut:

*Anak yang dilahirkan di luar nikah iaitu sama ada hasil daripada zina atau rogol;

*Anak yang dilahirkan dalam tempoh kurang enam bulan dua lahzah Qamariah dari waktu akad nikah (sehingga dia bersalin) dan dia bukan hasil daripada persetubuhan syubhah; dan

*Anak yang dilahirkan dalam tempoh lebih dari enam bulan dua lahzah Qamariah dari waktu akad nikah dan ada bukti dari segi syarak bahawa anak tersebut ialah anak luar nikah melalui ikrar (pengakuan) mereka yang berkenaan (suami dan isteri tersebut atau salah seorang daripadanya), atau empat orang saksi yang memenuhi syarat-syarat mengikut hukum syarak seperti proses li'an.




« Last Edit: 10 August, 2009, 11:00:50 AM oleh Munaliza Ismail »

Logged

Pengurusan, Pentadbiran Forum Halaqahnet.
Penal Utama Baitul Muslim



Hukum Kahwini Wanita Hamil Anak Luar Nikah


Posted on April 18, 2011 by ciktom

Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia…

Cik tom tertarik nak buat entry mengenai Hukum Nikah Perempuan Mengandung Anak Luar Nikah kerana terdapat perbahasan dikalangan kawan-kawan cik tom mengenai hal ini apabila berlaku kes tag-mengtag notes di facebook mengenai hukum perkahwinan yang tidak sah apabila pasangan itu berkahwin ketika wanita itu sedang hamil anak luar nikah. Dan apabila status perkahwinan itu tidak sah maka mereka dikira hidup dalam berzina sepanjang hayat.


Cik tom rasakan pendapat itu terdapat keraguannya lebih-lebih lagi tidak diceritakan sebarang dalil atau nas bagi memperkukuhkan notes tersebut. Jadi cik tom mengambil langkah mencari sumber yang kukuh dari orang berkelayakan untuk membincangkan hukum ini. Cik tom kongsikannya di sini supaya kawan-kawan yang lain mengetahui hakikat sebenarnya. Janganlah terlalu pengaruh dengan dunia facebook semata-mata tanpa mengetahui kesahihan sesuatu hukum.

Entry ini bukanlah bermakna cik tom menyokong sebarang tindakan berzina tapi sebagai peringatan kepada yang lain. Beringatlah sebelum membuat sesuatu perkara yang bukan sahaja boleh memcemarkan nama baik sendiri tapi malahan keluarga. Jauhi zina.

Soalan

Sesungguhnya permasalahan ini amat berat. Perkahwinan seumpama ini pada hari ini sememangnya amat biasa kerana keluarga biasanya memilih jalan ini untuk menutup malu. Bila dapat tahu anak mengandung anak luar nikah, cepat-cepat dikahwinkan. Berdasarkan kenyataan ini , perkahwinan ini adalah tidak sah! Maka pasangan tersebut akan hidup dalam zina sepanjang hayat. Mohon ustaz huraikan jawapan tuan imam dan tulisan ini.

Jawapan (Oleh : Ust Zaharuddin Abd Rahman)

Telah agak lama saya terima soalan sebegini dan agak kerap juga. Jika ia hanya sekadar soalan ilmu yang bersifat amat jarang berlaku, ia tidaklah mengapa tetapi yang amat saya bimbangi adalah berdasarkan kekerapan soalan ini diajukan menimbulkan andaian bahawa kes begini sering berlaku dalam masyarakat kita.

Ini bermakna, agak ramai wanita dan lelaki yang telah terlanjur sebegini dan kemudian baru terfikir hukum bagi menyelesaikannya.

Sebagai manusia biasa, saya agak geram bila diajukan soalan ini. Hinggakan agak kerap juga saya menjawab dengan mudah iaitu.

“Hukumnya sememangnya menyukarkan, jadinya lain kali jangan berzina” demikian jawapan semasa geram saya.

“Ini kerana jika sememangnya tiada “manual panduan yang normal” hukum yang mudah bagi menjawab keadaan sedemikian, sama seperti seorang yang datang mengadu kepada seorang mekanik kereta apabila kerosakan enjin keretanya”

Setelah diselidiki , didapati enjin rosak dengan amat fatal, apabila ditanya apa sebab enjinnya seteruk ini rosaknya, maka si empunya kereta memberitahu :-

“Kerana saya letak minyak tar dalam tangki petrol”

Saya kira sudah tentu mekanik itu juga merasa ‘bengang’ dengan perangai ‘kurang cerdik’ tuan punya kereta. Kemudian apabila diberitahu kos untuk membaiki enjin itu adalah mahal dan sukar,tuan punya kereta mulalah membebel dan marah-marah serta menuntut kos pembaikan yang mudah dan murah.

“mana boleh murah dan senang kalau gini, dah hang yang teruk sangat jaga dan guna kereta. Kalau nak murah..LAIN KALI JANGANLAH MASUKKAN MINYAK TAR DALAM TANGKI PETROL NI OK !” kata mekanik meradang apabila diminta membaiki kerosakan berat itu dengan kos murah.

Inilah seolah-olahnya radangan saya juga di peringkat awal dulu. Dah berzina hingga mengandung, barulah sibuk ingin memikirkan hukum halal haram dan kesannya. Maka sudah tentu penyelesaiannya juga agak sukar sebenarnya.

Bagaimanapun, bagi memberikan penghargaan kepada pasangan yang telah bertaubat, maka inilah jawapannya:-

Apabila seorang lelaki dan wanita itu telah bertaubat dengan taubat yang benar, dan berkahwin semasa si wanita itu sedang mengandungkan anaknya secara pasti. Perkahwinan itu adalah sah menurut Mazhab Syafie dan perlulah didaftarkan sebaiknya.

Mazhab Hanbali menjadikan taubat sebagai syarat untuk diterima pernikahan tersebut. Ia berdasarkan tafsiran mereka dari surah an-Nur ayat ke 3. Bagaimanapun majority ulama tidak menjadikan taubat sebagai syarat sah pernikahan penzina tersebut.

HUKUM KAHWIN SEMASA ‘IDDAH DAN HAMIL

Adapun berkenaan hal ‘iddah’ dan bolehkah berkahwin semasa tempoh ‘iddah.

Hukum asal bagi perkahwinan dan perceraian normal, adalah diwajibkan menunggu tamatnya ‘iddah wanita sebelum diizinkan untuk berkahwin baru.( Al-Ikthiyar li Ta’lil al-Mukhtar, 3/78).

a) Tempoh Iddah Wanita Dicerai Dalam Keadaan Suami Masih Hidup

Tempoh iddah bagi wanita yang diceraikan (jika tidak mengandung) adalah tiga kali suci berdasarkan firman Allah SWT :-

Ertinya : “Dan wanita-wanita yang tercerai ( iddahnya ) adalah tiga kali suci ” ( al-baqarah : 228 )

b) Tempoh Iddah Wanita Mengandung

Tempoh ‘iddah bagi wanita mengandung, adalah sehingga ia selesai bersalin. Ia berdasarkan firman Allah SWT :-

وأولات الأحمال أجلهنّ أن يضعن حملهنّ

Ertinya : ” Wanita-wanita yang hamil tempoh iddahnya adalah sehingga melahirkan kandungannya” ( At-Talaq : 3)

c) Tempoh Iddah Wanita Yang Bercerai Kerana Suami Mati

Tempohnya adalah 4 bulan sepuluh hari, jika tidak mengandung. Ia berdasarkan firman Allah :-

والذين يتوفون منكم ويذرون أزواجاً يتربصن بأنفسهنّ أربعة أشهر وعشراً

Ertinya : Dan bagi mereka yang meninggal dari kalangan kamu dan meninggalkan pasangan (isteri-isteri) hendaklah menunggu (tempoh iddah) nya 4 bulan sepuluh hari” ( Al-Baqarah : 234 )

Ulama telah bersepakat bahawa perkahwinan semasa iddah adalah dilarang dalam Islam ( Nizam al-Usrah Fil Islam, Dr Md Uqlah, 1/ 287), Ia berdasarkan firman Allah :

ولا تعزموا عقدة النكاح حتى يبلغ الكتاب أجله

Ertinya : “Dan jangan kamu melangsungkan aqad nikah sehinggalah sampai tempoh yang ditetapkan al-Kitab ( tempoh iddah) ” (Al-Baqarah : 235 )

Bukan saja nikah, malah meminang seorang wanita semasa dalam tempoh ‘iddahnya juga adalah haram. Jika meminang pun tidak dibenarkan semasa iddah apatah lagi bernikah, sudah tentu lebih besar larangannya. Ia berdasarkan firman Allah.

Demikian tadi hukum yang standard bagi seluruh umat Islam. Secara mudahnya, inilah hukum normal bagi keadaan normal. Sebagaimana manual dan panduan bagi sesebuah kereta yang rosak normal. Dengan mudah boleh dijumpai penyelesaiannya oleh si mekanik.

Kes Zina Bermasalah

Bagaimanapun dalam kes ‘iddah bagi individu yang ‘termengandung’ akibat zina dan hukum si wanita ini berkahwin dengan lelaki samaada pasangan zinanya atau lelaki lain bagi menutup malunya dengan segera atau apa jua sebab lain.

Ulama berbeza pandangan dalam hal ini.

Mazhab Maliki, Syafie dan At-Thawry berpendapat bahawa tiada hukum ‘IDDAH bagi wanita berzina. Menurut aliran mazhab ini, perbuatan berdosa dan haram seperti zina tidak akan diiktiraf, Hasilnya, tiada hukum boleh terbina di atas sesuatu yang tidak sah seperti zina. ( Rawdah at-Tolibin, 7/113 ; Bidayatul Mujtahid, ibn Rusyd, 2/21)

Pandangan ini juga diriwayatkan telah dipegang sebelumnya oleh beberapa sahabat Nabi yang utama seperti Khalifah Abu Bakar As-Siddiq r.a , Umar Al-Khattab r.a dan Ali Bin Abi Talib r.a.

Ia berdasarkan hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a :

Ertinya : “..penzina (muhsan) tidak lagi layak kepada sesuatu kecuali rejaman batu sehingga mati”

Dan juga sebuah lagi dalil iaitu :

لا يحرم الحرام الحلال , إنما يحرم ما كان من نكاح

Ertinya : Sesungguhnya perbuatan yang haram tidak akan mengharamkan yang halal ( iaitu perhubungan hasil zina tidak akan membawa sebarang kesan kepada hubungan semendaan) , sesungguhnya hanya akan menjadi haram kerana persemendaan jika dari nikah yang sah” ( Riwayat Ibn Majah, Al-Bayhaqi : As-Sayuti : Dhoif)

Hasil dari dalil-dalil itu, jelas bahawa zina yang haram tidak membawa sebarang hukum ‘iddah, hanya nikah yang sah terdapat ‘iddah. Justeru, perkahwinan penzina wanita yang sedang mengandung itu dengan pasangannya adalah sah menurut mazhab ini dan juga disepakati oleh Imam Abu Hanifah.

Lagi Displin Khas

Bagaimanapun, jika wanita penzina melakukan zina dengan ramai lelaki sehingga ia tidak pasti yang berada di dalam kandungannya adalah dari lelaki tertentu. Pernikahannya itu masih sah menurut seluruh mazhab yang telah disebutkan di atas tetapi dengan SYARAT : MEREKA TIDAK BOLEH BERSETUBUH SEHINGGALAH SI WANITA ITU TELAH BERSALIN!. Jika mereka bersetubuh, maka berdosalah mereka walaupun perkahwinan telah sah.

Ia berdasarkan sebuah hadith yang ertinya :

“Tidaklah halal bagi sesiapa yang beriman dengan Allah dan RasulNya, untuk menyiram benih kepada tanaman lelaki lain ( iaitu jika wanita sedang mengandungkan benih lelaki lain)” ( Riwayat Abu Daud, At-Tirmidzi : Hadith Hasan)

Sekiranya wanita itu berkahwin dengan satu-satunya lelaki dan pasti pula ia adalah benih lelaki tersebut. Di ketika itu, ia dibenarkan untuk bersama selepas pernikahan dan pernikahan itu juga sah.

Kesimpulan

Bagi saya jawapan yang lebih utuh dalam keadaan masyarakat yang amat bermasalah hari ini adalah sah pernikahan dengan syarat si pasangan bertaubat dan jika wanita itu berkahwin dengan pasangan yang bukannya pemilik benih kandungannya, wajiblah ia menjauhi wanita itu sehinggalah ia bersalin.

Sekian

Ust Zaharuddin Abd Rahman

6 Mei 2007





Soalan :

Assalammualaikum.
Saya ada sedikit kemusykilan di sini. Berhubung dengan orang yang bernikah ketika mengandung kandungan luar nikah.. adakah sah nikahnya.. Dan adakah benar. jika janin itu belum membentuk manusia.. ianya boleh di binkan kepada bapa luar nikahnya.. yakni org yg berzina dgn ibunya sebelum nikah..bolehkan pihak tuan terangkan secara terperinci mengenai hukumnya.
ini disebabkan saya ada terbaca sebuah artikel mengenainya...
Ini berdasarkan 'isyarat al-nas' drp ayat-ayat berikut:
Ayat 15 Surah al-Ahqaf yg bermaksud, "Dan Kami (Allah s.w.t.) telah berpesan kepada manusia supaya berbuat ihsan kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungkannya secara payah, dan melahirkannya secara payah, (tempoh) kandungan dan penyusuan selama tiga puluh bulan…"
Manakala ayat 14 Surah Luqman pula bermaksud, "…dan penyusuannya selama dua tahun…" dan ayat 232 Surah al-baqarah yg bermaksud, "Dan ibu-ibu yang menyusukan anak-anak mereka selama genap dua tahun, iaitu bagi sesiapa yang hendak menyempurnakan penyusuan itu"
Berdasarkan ayat-ayat di atas, para ulama Islam yang bijaksana lagi memahami al-Quran telah merumuskan bahawa tempoh kandungan yg minima (paling pendek) ialah selama enam bulan Hijriah. Ini kerana Al-Ahqaf: 15 menyatakan tempoh kandungan beserta penyusuan ialah 30 bulan (perkiraan bulan dlm al-Quran adalah berdasarkan Qamariah/Hijriah), manakala al-Baqarah: 232 dan Luqman: 14 pula menyatakan tempoh penyusuan yang lengkap ialah 24 bulan. (30 - 24 = 6), maka tempoh 6 bulan yg tinggal itu ialah utk usia kandungan yg minima, walaupun kebiasaan tempoh hamil ialah lebih kurang 9 bulan.
Berdasarkan inilah, maka anak yang dilahirkan selepas 6 bulan Hijriah ibunya bernikah, adalah dikira anak yang sah dan dibinkan kepada bapanya yang telah bernikah secara sah dgn ibunya, walaupun umum mengetahui si ibu itu telah berzina dan telah hamil semasa akad nikah diadakan. Maka sesiapa yang menuduh anak itu sebagai anak haram, maka si penuduh layak dikenakan Had al-Qazaf (jenayah menuduh zina tanpa saksi) sebanyak 80 sebatan (berdasarkan Surah al-Nur: 4).
Sebaliknya, jika usia kandungan itu tak cukup enam bulan Hijriah selepas nikah yang sah, maka adalah HARAM membinkan anak itu kepada lelaki yg dinikahi oleh ibunya secara sah semasa sedang hamil zina itu.
Jawapan :
1.
Hukum nikah dengan perempuan yang sedang mengandung anak luar nikah adalah sah (iaitu mesti cukup rukun dan syarat nikah), sama ada lelaki yang menikah itu si penzina atau lelaki lain.
2.
masalah sama ada boleh atau tidak anak luar nikah itu dibinkan dengan bapanya (yang dinikahi secara sah selepas zina) adalah bergantung pada tempoh usia kandungan selepas dinikahi.
3.
Sekiranya usia kandungan adalah melebihi tempoh 6 bulan (mengikutperkiraan kalendar hijriah) selepas dinikahi maka boleh dibinkan anak yang lahir itu kepada suaminya yang sah.
4.
Sekiranya usia kandungan adalah tidak sampai enam bulan hijriah selepas akad yang sah, maka haram membinkan anak itu kepada lelaki yang menjadi suami kepada ibunya.
5.
Sebagai contoh: Bedah telah melakukan zina dengan Bedul lalu hamil. Semasa usia kandungnya tiga bulan hijriah, Bedah bernikah dengan Bedul atau lelaki lain enam bulan sepuluh hari selepas nikah, Bedah bersalin hasil perzinaan dengan Bedul lebih bulan sembilan bulan yang lalu. Walaupun anak itu sebenarnya hasil zina atas dasar Husnuz Zan (berbaik sangka) maka syariat itu membenarkan anak itu dibinkan kepada Bedul atau lelaki lain yang telah berkahwin secara sah.
Walaubagaimanapun jika anak itu perempuan, yang menjadi pokok persoalannya ialah bila ia dewasa kelak, ibunya hendaklah berterus terang bahawa ia anak luar nikah dan tidak boleh berwalikan bapanya; anak itu berwalikan hakim ( imam jurunikah) tidak sah nikah jika anak zina berwalikan bapanya.




Sumber:  http://www.muftiselangor.gov.my/SoalJawabAgama/Munakahat/SoalJawabMunakahat
34.htm